Aku Anak Pasar Malam

Posted in Uncategorized on 30/06/2009 by chekgoo

Anak pasar malam

“ …tu anak orang ke anak kucing…?? ”

Begitulah pertanyaan yang diajukan oleh seorang lelaki yang berusia belum sampai setengah abad kepada mak dan abah aku. Mengapa dia bertanya sedemikian??

Mengimbas kembali saat mak bercerita kepada aku. Ketika aku masih kecil lagi aku dan adik-beradik aku telah dibawa ke pasar malam. Bukan untuk membeli makanan, bukan untuk melihat dan merasai suasana malam. Tetapi untuk menemani mak dan abah untuk mencari rezeki. Sesuap rezeki yang halal.

Ketika itu abah berniaga menjual permainan kanak-kanak. Abah akan berulang-alik dari rumah ke pasar malam untuk memunggah barang-barang dan kemudiannya membawa kami semua ke pasar malam. Ini memandangkan usia kami yang baru sahaja mencapai tahap olahan formal. Mungkin aku baru pada tahap pra-olahan. Kami tidak mampu untuk berdikari lagi pada masa itu. Abah membuat semua kerjanya itu dengan sebuah basikal. Basikal yang orang dulu-dulu panggil ‘Basikal Panther’. Warna hitam dengan tayar bulat yang besar. Lampu yang digunakan untuk menerangi punca rezeki kami pula ialah lampu gasoline. Kena pam sampai hitam muka dulu baru menyala.

Pada siang hari abah akan pergi kerja. Aku dah lupa sama ada abah bekerja sebagai buruh atau sudah bekerja dengan Majlis Perbandran Petaling Jaya atau Majlis Bandaraya Petaling Jaya (sekarang). Mak pula akan menjual nasi lemak. Abang sulung aku, Farid dan abang 2nd aku Fadzli akan membawa nasi lemak untuk dijual di sekolah. Aku masih ingat lagi semasa tadika, tugas utama aku selepas waktu persekolahan ialah menghantar nasi lemak ke kedai makan sebelah rumah. Kedai roti canai Abang Jamal. Pada satu ketika, kaki aku termasuk di dalam satu lubang di dalam kedai itu ketika hendak meminta Mirinda merah. Last-last Mirinda merah tak dapat, kaki berdarah dapat. Lupa pula untuk memberitahu bahawa aku dibesarkan di satu kawasan yang dikenali sebagai ‘Setingg Garden’. Kalau dalam bahasa Melayu dipangil ‘setinggan’.

Berbalik kepada cerita tadi, lelaki itu menanyakan soalan cepu emas itu kepada mak dan abah kerana pada waktu itu aku diletakkan di dalam sebuah kotak TV. Dalam keadaan yang serba kekurangan, mak dan abah tak mampu untuk membeli ‘stroller’. Jadi aku akan diletakkan di dalam kotak ketika aku sedang lena dibuai mimpi yang belum pasti. Suara sang nyamuk yang bersahutan dengan bunyi getaran kerongkong manusia sajalah yang menjadi teman aku pada malam itu.

Abah, mak dan adik-beradik aku yang lain akan segera mengemas sumber rezeki kami setelah suasana seperti sebelumnya semakin menghilang. Rezeki hari itu sudah diberi oleh Nya. Esok masih belum pasti. Abah dan mak mengharapkan agar cuaca baik pada esok hari. Sekiranya hujan, bagaimanalah nasib anak-anak. Dimana tempat untuk berteduh. Dalam kotak?? Bawah payung?? Entahlah….

Aku bukan ingin meminta simpati. Jauh sekali mengecil dan menghina mak dan abah. Apa yang aku harapkan agar bangsa aku dapat mengubah sikap. Orang yang susah dihina, dikeji sepuas hati. Yang senang disanjung bagai sang wira. Sedarlah, jika tiada orang di bawah, apa yang akan jadi kepada yang di atas?? Itu belum masuk bab hasad dengki lagi. Jatuh bangun mak dan abah membesarkan aku dan yang lain-lain banyak mengajar tentang erti hidup. Kini abah dan mak telah kembali ke karier asal sebagai peniaga – pasar malam/pasar pagi (baru beberapa tahun) setelah semua hasil titik peluh mereka dimusnahkan oleh sikap bangsa yang penuh adat ini. Lebih 10 tahun mak dan abah membangunkan perniagaan kedai runcit, kedai makan dan kedai aksesori wanita, tapi dalam masa sekejap saja semua itu hilang. Memang hebat kuasa halus. Tetapi ada lagi kuasa yang hebat hendaknya..Dengan berkat kesabaran mak dan abah, di sinilah aku berada…

Sekarang…….syukur kepada Yang Maha Esa kerana semua anak mak dan abah dah jadi orang….

Hello world!

Posted in Uncategorized on 22/06/2009 by chekgoo

Welcome to WordPress.com. This is your first post. Edit or delete it and start blogging!